Keratan Akhbar

KERATAN AKHBAR PILIHAN: PEGAWAI POLIS TERKENA TEMBAKAN DISAHKAN STABIL

Kuala Lumpur, 28 Disember 2019 - Superintendan Risikan/Operasi, Bahagian Siasatan Jenayah Terancang (D14), Superintendan Muhamad Riduan Manap @ Saif yang cedera akibat terkena tiga das tembakan oleh penjenayah dalam kes culik seorang ahli perniagaan di Mersing, Johor, Selasa lalu, berada dalam keadaan stabil.

Beliau kini sedang mendapatkan rawatan lanjut di sebuah hospital di ibu negara selepas dipindahkan dari hospital di Johor Bahru.

Katanya, semasa operasi khas bagi menyelamatkan ahli perniagaan berusia 41 tahun itu, dia dan pasukannya dari Bukit Aman dengan dibantu Polis Johor, berusaha memastikan keadaan mangsa culik yang berada dalam tawanan penjenayah selamat.

"Selepas mengesan kedudukan mangsa yang ditahan dalam sebuah kereta di sebuah ladang kelapa sawit di Sekakap, Mersing, kami memulakan operasi menyelamat mangsa dan mengesan suspek terbabit.

"Dalam keadaan yang gelap semasa kami menghampiri kereta berkenaan, suspek melepaskan tembakan secara tiba-tiba dengan salah satunya terkena pada kepala tali pinggang yang saya pakai," katanya ketika menerima kunjungan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman, CP Dato' Huzir Mohamed.

Tuan Muhamad Riduan bersyukur kerana kepala besi tali pinggangnya itu berjaya menghalang tembakan pertama dari menembusi organ penting pada tubuh badan yang berkemungkinan boleh merisikokan nyawanya.

Bacaan penuh pada keratan akhbar terbitan Berita Harian seperti yang dilampirkan.

Sumber: Berita Harian.

Image may contain: 2 people, text
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS