Keratan Akhbar

[ARTIKEL PILIHAN] INSIDEN KERETA TERJUNAM DALAM PARIT: PIHAK POLIS HANYA FIKIR SELAMATKAN MANGSA

Batu Pahat, 1 Februari 2020 - “Saya tidak fikirkan apa-apa, hanya mahu selamatkan pemandu dan penumpang,” kata pegawai dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat, Inspektor Hasbullah Hassan.

Dalam kejadian di Jalan Tongkang Pecah-Bukit Pasir kira-kira jam 4.30 petang semalam, beliau bersama anggota trafik dan orang awam menyelamatkan pemandu dan penumpang sebuah kereta Perodua Myvi yang terbabas dan menjunam ke dalam parit.

Dalam kejadian itu, Perodua Myvi yang dinaiki Zuraida Abdullah, 25 dan adiknya Zulaikha,17, hilang kawalan dan terbabas sebelum menjunam ke dalam parit berkenaan.

Menurut Inspektor Hasbullah, dia terjun dan menyelam menyusup masuk ke dalam kereta untuk menarik seorang daripada mangsa yang terperangkap di dalam kenderaan yang terbalik di dalam parit itu.

Katanya, ketika menyelam terlintas difikirkannya hanya mahu seorang penumpang yang masih berada di dalam kenderaan itu selepas melihat pemandunya berjaya dibawa naik ke tebing.

“Kalau kami lambat seminit untuk mengesan dan mengeluarkan Zuraida, saya rasa kita akan kehilangan dua nyawa dalam kejadian itu.

“Kami gagal mengeluarkan adiknya lebih cepat kerana pintu kereta tidak dapat dibuka akibat tersepit dengan tebing parit dan kami terpaksa memecahkan cermin pintu belakang untuk masuk,” katanya.

Insiden usaha menyelamatkan mangsa kemalangan itu tular melalui video anggota polis terjun ke dalam longkang untuk menyelamatkan mangsa petang semalam.

Menurut beliau, walaupun berjaya mengeluarkan kedua-dua mangsa dari kereta itu namun dia kesal dan terkilan kerana seorang daripadanya meninggal dunia.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, ACP Azhan Abdul Halim berkata, hasil siasatan mendapati kejadian berlaku ketika kereta itu mahu memasuki satu simpang di jalan berkenaan.

Katanya, ketika masuk ke simpang itu, kenderaan dipandu Zuraida tiba-tiba hilang kawalan dan terjunam masuk ke dalam parit.

“Akibat kejadian itu, kedua-dua beradik terperangkap dalam sebelum berjaya dikeluarkan oleh anggota polis yang sedang membuat rondaan Ops Selamat namun adiknya disahkan meninggal dunia di lokasi dipercayai lemas,” katanya.

Sumber: Harian Metro


PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS