Keratan Akhbar

KERATAN AKHBAR PILIHAN: KEBAJIKAN KELUARGA TERJAMIN

Tawau, 1 Mac 2020 – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memastikan kebajikan keluarga kepada anggota yang terbabit dalam nahas helikopter di Kem Batalion 14 Pasukan Gerakan Am (PGA) dekat sini, Khamis lalu terbela.

Pesuruhjaya Polis Sabah, CP Dato’ Zaini Jass berkata, pihaknya akan memastikan semua aspek kebajikan termasuk membabitkan rawatan mangsa diberi keutamaan.

Menurutnya, Sarjan Wedrick Sindih, 34, yang dilaporkan patah tulang leher (C5, C6 dan C7) akibat nahas itu, sudah terbangkan ke Hospital Queen Elizabeth (QEH) menggunakan pesawat Britten-Norman BN-2B-20 Islander milik Layang-Layang Aerospace malam kelmarin.

“Sarjan Wedrick dijadualkan menjalani imbasan MRI bagi menentukan jenis rawatan yang diperlukan sebelum pembedahan dijalankan sekumpulan doktor pakar.

“PDRM mengambil kira kebajikan setiap anggota dan memberikan bantuan yang sewajarnya termasuk bekerjasama dengan pihak hospital dalam menguruskan prosedur rawatan yang terbaik,” katanya selepas melawat lokasi nahas di kem PGA disini, semalam.

Turut hadir Komander Pasukan Gerakan Udara (PGU) Pangkalan Sabah, ACP Tuan Ahmad Lokman Abdul Hadi dan Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Tuan Peter Umbuas.

Sebelum itu, beliau turut melawat seorang lagi mangsa, Sarjan Mohamad Radzie Radaie, 40, yang menerima rawatan di Hospital Tawau.

Sumber: Harian Metro

Image may contain: 3 people
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS