Keratan Akhbar

KERATAN AKHBAR PILIHAN: SUARA MAHAL

Putrajaya, 1 Mac 2020 - Bukan calang-calang harga ditawarkan berikutan seekor burung murai batu (Copsychus Malabaricus) berasal dari Malaysia boleh dijual mencecah 100 juta Rupiah (RM29,435) seekor di pasaran gelap Indonesia.

Walaupun ada pelbagai spesies burung murai tempatan di republik itu, namun kemerduan suara burung murai batu Malaysia dianggap sukar ditandingi menyebabkan hidupan liar dilindungi itu terus diseludup secara besar-besaran ke negara jiran.

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, terbaru sepasukan Pasukan Polis Marin (PPM) Pengerang, Johor berjaya menumpaskan tindakan sindiket yang cuba menyeludup keluar burung murai batu tempatan secara besar-besaran.

Menurutnya, dalam operasi jam 11 pagi semalam, polis menyerbu sebuah premis di Felda Adela, Kota Tinggi, Johor.

“Tiada tangkapan dilakukan, namun pihak polis menemui 165 bekas dan sangkar disembunyikan di dalam premis itu.

“Ada juga 335 ekor burung murai batu yang dipercayai mahu diseludup keluar ke negara jiran. Bagaimanapun, cubaan itu dipatahkan oleh polis susulan maklumat diperoleh,” katanya.

Menurutnya, semua rampasan itu kemudian dibawa dan diserahkan ke Pejabat Perhilitan Bandar Penawar di sini, untuk tindakan lanjut.

Bacaan lanjut menerusi keratan akhbar Harian Metro.

No photo description available.
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS