Keratan Akhbar

KERATAN AKHBAR PILIHAN: PENGHANTAR DADAH DITAHAN BERSAMA PIL YABA RM1.4 JUTA

#COVID-19 #WarAgainstDrugs

Pasir Mas, 21 April 2020 – Polis Kelantan merampas 140,000 biji dipercayai pil yaba (pil kuda) bernilai RM1.4 juta di Kampung Kubang Pak Ali, Jalan Kesban di sini, pagi kelmarin.

Hasil operasi itu turut menahan seorang pemuda berusia 27 tahun merangkap penghantar bekalan dadah berkenaan.

Ketua Polis Kelantan, DCP Datuk Hasanuddin Hassan, berkata rampasan itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) yang ketika itu sedang melakukan operasi rondaan.

Katanya, sebaik tiba di lokasi berkenaan, anggota PGA mendapati sebuah kereta Proton Persona yang dipandu seorang pemuda dalam keadaan mencurigakan sebelum menahan untuk pemeriksaan.

“Hasil pemeriksaan dalam but belakang kereta menemui dua kotak besar dan dua kotak kecil yang mengandungi 70 bungkusan plastik lutsinar.

“Kita mendapati, bungkusan plastik lutsinar itu diisi pil kemerahan dan kehijauan dipercayai pil yaba,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas.

Mengulas lanjut, Datuk Hasanuddin berkata, siasatan pihaknya mendapati, lelaki berkenaan tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan tinggal di Rantau Panjang.

“Berdasarkan keterangan suspek, lelaki berkenaan mengambil bekalan dadah di Tumpat untuk dihantar ke Rantau Panjang.

“Lelaki berkenaan memaklumkan dia adalah penghantar dadah dan baru pertama kali melakukan kes berkenaan,” katanya yang suspek direman seminggu bermula semalam.

Pada masa sama katanya, pihak polis turut merampas pebagai mata wang dan jam tangan bernilai RM500.

Sumber: Berita Harian

Image may contain: 1 person, text
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS