Keratan Akhbar

ARTIKEL PILIHAN: BEDILAN MERIAM IPD PEKAN TANDA BERBUKA PUASA

Pekan, 29 April 2020 - Satu das bedilan meriam menandakan sudah masuk waktu Maghrib sepanjang Ramadan sebagai panduan berbuka puasa di Bandar Diraja ini selain laungan azan.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Razli Mohd Yusof berkata, tradisi menembak meriam itu sudah dimulakan sejak lebih 40 tahun lepas dengan menggunakan dua laras meriam jenis Bavaria Gun M635 dari Jerman yang setiap satu seberat 415 kilogram.

"Tradisi menembak meriam dipercayai bermula disebabkan ramai penduduk pada waktu dahulu tidak mempunyai radio dan kedudukan rumah yang jauh dari masjid menyebabkan mereka sukar untuk mengetahui jika sudah masuk waktu Maghrib.

"Kedudukan meriam yang dihalakan ke arah Istana Abu Bakar juga adalah tradisi kerana dahulunya ia sebagai pemakluman waktu berbuka kepada Sultan Pahang yang bersemayam di situ dan bunyi tembakan boleh didengar sejauh satu kilometer," katanya di sini, semalam.

Superintendan Mohd Razli berkata, dua laras meriam itu digunakan secara bergilir sepanjang bulan Ramadan dengan tugasan menembak dilakukan oleh empat anggota dari cawangan persenjataan Ibu Pejabat Polis Daerah Pekan.

Selain tembakan berbuka puasa, Superintendan Mohd Razli berkata, tembakan satu das juga dilepaskan untuk memaklumkan penduduk bermulanya bulan Ramadan dan pengisytiharan Aidilfitri yang dibuat selepas pengumuman oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja. - Bernama

Sumber: Sinar Harian

 
 
 
 
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS