Keratan Akhbar

#COVID-19 ARTIKEL PILIHAN: PDRM AKAN KELUARKAN JADUAL PERJALANAN KEPADA MEREKA YANG MAHU KEMBALI BEKERJA

Putrajaya, 2 Mei 2020 - Mereka yang terperangkap dan mahu pulang ke kampung atau bandar dibenarkan berbuat demikian bermula 7 hingga 10 Mei ini.

Menteri Kanan (Keselamatan) Menteri Pertahanan, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengeluarkan jadual perjalanan berkenaan dalam masa terdekat.

"Pihak PDRM telah menerima lebih 500,000 permohonan dari rakyat untuk pulang dari kampung ke bandar dan bandar ke kampung. Kita memang akan membenarkan rakyat yang terperangkap di kampung untuk pulang. Oleh itu PDRM akan sediakan jadual perjalanan dari kampung ke bandar.

"PDRM akan buat kenyataan media namun bila (kebenaran perjalanan) itu, bermula Khamis 7 Mei dan berakhir 10 Mei 2020," katanya dalam sidang media di sini pada Sabtu.

Dalam pada itu katanya, kakitangan awam yang masih terperangkap di kampung atau bandar tidak perlu bekerja pada Isnin ini.

Justeru, mereka diingatkan agar tidak tergesa-gesa kembali ke negeri mereka bekerja kerana jadual perjalanan akan ditetapkan oleh PDRM.

"Saya nak ingatkan kepada kakitangan kerajaan tak perlu tergesa-gesa balik hari ini atau esok, walaupun pejabat dibuka Isnin sebab Ketua Setiausaha Negara setuju bahawa mereka tak perlu kerja Isnin.

"Mereka boleh balik ke tempat kerja berdasarkan hari yang akan ditetapkan oleh PDRM. Sebagai contoh kalau jadual mereka jatuh pada hari Jumaat, mereka perlu tunggu Jumaat dan kerja Isnin. Sebab itu jadual kepulangan Khamis ke Jumaat. Maknanya Isnin akan datang mereka boleh mula kerja," tambahnya.

Pada masa sama, majikan syarikat swasta diingatkan agar memberikan ruang kepada pekerja untuk memulakan kerja berdasarkan jadual perjalanan berkenaan.

"Saya menyeru kepada majikan-majikan syarikat swasta memberikan ruang kepada pekerja memulakan kerja berdasarkan jadual polis. Jadi jangan ambil tindakan kalau mula Isnin sebab perjalanan bermula pada Khamis.

"Saya harap tiada pekerja yang diambil tindakan oleh majikan swasta kerana ini bukan pilihan pekerja mereka tetapi jadual disediakan oleh PDRM," tambah beliau.

Sumber: Astro AWANI

#StayHome #BeSafe #Pray4Malaysia
HELP BREAK THE COVID-19 CHAIN

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS