Keratan Akhbar

[KERATAN AKHBAR PILIHAN] TRAGEDI MH17: DIDESAK TANDATANGAN DOKUMEN PADA SAAT GENTING

Didesak membuat keputusan penting bagi menentukan hak milik kotak hitam.

Itu antara detik cemas tidak dapat dilupakan Pengarah Bahagian Pelaksanaan Operasi Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), DCP Dato’ Hussein Omar Khan ketika mengetuai pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam misi pencarian baki mayat mangsa dan bangkai pesawat Penerbangan Malaysia (MH17).

Dato’ Hussein yang menggalas tanggungjawab sebagai Komander Pasukan Pengecaman Mangsa Bencana (DVl) ketika misi itu berkata, pengalaman tidak pernah didedahkan itu berlaku ketika dia berada di Ukraine sejurus tragedi pesawat MH17 terhempas pada 17 Julai 2014.

"Dalam kejadian itu, kenderaan perisai milik Belanda yang dinaiki pegawai penyiasat Malaysia membawa kotak hitam ditahan tentera Ukraine menggunakan kereta kebal sebelum saya dibawa bertemu salah seorang pemimpin tertinggi Ukraine," katanya.

Biarpun tidak dimaklumkan agenda sebenarnya, Dato’ Hussein akur dengan arahan pihak berkuasa Ukraine tanpa mengetahui pertemuan itu sebenarnya diadakan bagi menuntutnya mewakili negara untuk membuat keputusan penting.

"Tidak sangka saya dibawa bertemu Timbalan Presiden Ukraine ketika itu. Tiada butiran terperinci diberikan dan saya tidak sempat memaklumkan pihak atasan PDRM berhubung arahan itu.

"Saya dan wakil Belanda dituntut menandatangani dokumen perjanjian berkaitan hak milik kotak hitam MH17," katanya ditemui di pejabatnya di Jabatan Perdana Menteri, di Putrajaya.

Dato’ Hussein berkata, pertemuan itu adalah detik getir buatnya kerana perlu membuat keputusan sendiri dengan segera.

Memandangkan ia membabitkan hal yang penting, beliau cuba berunding dan meminta diberi peluang untuk menghubungi pemimpin tertinggi di Malaysia tetapi dilarang berbuat demikian.

"Mujur di akhir pertemuan, Ukraine bersetuju menyerahkan kotak hitam dengan syarat Malaysia bertanggungjawab sepenuhnya. Alhamdulillah, pertemuan selama dua jam berakhir dengan baik. Malah, kotak hitam itu juga berjaya diterbangkan ke United Kingdom (UK) untuk dianalisa data, "katanya.

Bacaan lanjut di pautan: https://www.google.com.my/…/www.hmetro.com.…/node/601093/amp

Sumber: Harian Metro

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS