Keratan Akhbar

KERATAN AKHBAR PILIHAN: TAK SAYANG NYAWA, LANGGAR LAMPU ISYARAT

Tak serik-serik. Mungkin itu yang boleh dikatakan kepada penunggang motosikal yang sering tidak mematuhi lampu isyarat merah. Hampir setiap kali berhenti di lampu isyarat, pasti kita akan melihat adegan 'berani mati' penunggang bergerak tanpa menunggu lampu hijau. Dengan hanya melihat kiri dan kanan bagi memastikan tiada kenderaan, mereka terus memecut laju.

Tindakan sebegini boleh mengundang padah bukan sahaja kepada penunggang itu sendiri, malah pengguna jalan raya lain. Banyak kes kemalangan jalan raya yang dicatatkan akibat kecuaian dan sikap mementingkan diri sendiri.

Setiap peraturan jalan raya yang dibuat adalah untuk kebaikan bersama. Lampu isyarat bukan dibuat saja-saja atau ingin menyusahkan pengguna. Ia bertujuan menjaga keselamatan semua pengguna.

Mungkin masyarakat perlu diajar semula maksud setiap warna pada lampu isyarat. Warna merah bermaksud berhenti, kuning bererti siap sedia berhenti manakala hijau untuk teruskan perjalanan. Pematuhan kepada warna lampu isyarat ini amat penting kecuali anda buta warna kerana ia membawa kesan amat buruk iaitu kecederaan serius atau lebih teruk lagi, kematian.

Di Malaysia, statistik kemalangan jalan raya di lampu isyarat menunjukkan 22.8 peratus kecederaan melibatkan kematian manakala 28.3 peratus adalah kecederaan serius selain 48.9 peratus kecederaan ringan.

Oleh itu, janganlah mementingkan diri sendiri ketika di jalan raya kerana padahnya turut tempias kepada pengguna lain.

Sumber: Utusan Malaysia

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS