Keratan Akhbar

ARTIKEL PILIHAN: WANITA DIANIAYA V2K DISARAN TAMPIL BUAT LAPORAN POLIS

Kuala Lumpur, 9 Oktober 2020 - Polis Diraja Malaysia (PDRM) meminta mana-mana wanita yang gambar mereka disebarkan melalui grup dalam aplikasi Telegram ‘V2K’ tampil membuat laporan polis bagi membantu siasatan.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Bukit Aman, ACP Puan Siti Kamsiah Hassan berkata, setakat ini pihaknya telah mengambil keterangan beberapa saksi dipercayai pemilik gambar tersebut.

Katanya, pihaknya juga akan menemu bual beberapa lagi mangsa dalam masa terdekat.

"Ada yang kita dah dapat kesan, namun belum diambil keterangan kerana berada di luar Lembah Klang.

"Berdasarkan siasatan awal, kita mendapati gambar-gambar yang dikongsi serta disebarkan itu diambil di laman sosial milik mangsa seperti di Instagram, Facebook dan sebagainya" katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

Dalam pada itu menurut Puan Siti Kamsiah, pihaknya juga sedang bekerjasama dengan polis antarabangsa (INTERPOL) bagi mengenal pasti serta mengesan pengendali grup Telegram itu.

Katanya, siasatan terperinci sedang dijalankan bagi mengetahui sama ada pengendali itu merupakan warga tempatan atau sebaliknya.

“Kita dapati perkara ini telah lama berlaku, apabila menjadi viral, grup itu telah dipadam serta dibubarkan. Bagaimanapun, siasatan lanjut sedang dijalankan dan bukti-bukti dikumpul berhubung perkara ini,” katanya.

Minggu lalu, media melaporkan wujud grup di aplikasi Telegram dikenali ‘V2K’ yang menyebarkan gambar lucah wanita serta kanak-kanak.

Grup yang mempunyai kira-kira 3,000 ahli itu dikatakan mengambil gambar-gambar mangsa di laman sosial peribadi tanpa persetujuan mereka serta berkongsi di aplikasi terbabit.

Susulan itu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam satu kenyataan berkata, pihaknya telah memaklumkan Telegram pada 9 Jun lalu berhubung perkara itu untuk penilaian serta tindakan lanjut.

“Kami kini menggesa Telegram yang tidak berpangkalan di negara ini secara aktif untuk mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia


PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS