Keratan Akhbar

KERATAN AKHBAR PILIHAN: POLIS SEKAT LALUAN TIKUS

#PKPB #COVID-19

Sabak Bernam, 15 Oktober 2020 - Polis menutup dua laluan tikus menghubungkan Sabak Bernam dan Teluk Intan bagi mengelak dilalui pengguna jalan raya sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya berkuat kuasa semalam.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd Alias berkata, kedua-duanya melibatkan laluan di bawah jambatan menghubungkan Sabak Bernam ke Teluk Intan dan pusingan U di Jalan Bagan Nira.

Beliau berkata, polis telah menutup dua laluan itu dengan penghadang konkrit selepas mendapati pengguna jalan raya menjadikannya sebagai alternatif untuk mengelak daripada sekatan jalan raya.

"Pegawai dan anggota polis akan melaksanakan pemantauan setiap masa di dua laluan tikus tersebut," katanya kepada Sinar Harian semalam.

Sementara itu, Superintendan Agus Salim berkata, sebanyak tiga sekatan jalan raya dilaksanakan di daerah Sabak Bernam bagi mengekang pergerakan rentas negeri sepanjang PKPB ini.

"Tiga lokasi sekatan jalan raya ialah di Sekinchan (Jalan Kuala Selangor menghala ke Sekinchan), Jalan Merbau Berdarah dan Jalan Bagan Nira (membabitkan dua hala iaitu Sabak Bernam dan Teluk Intan)," katanya.

Dalam masa sama, beliau menasihatkan orang ramai mematuhi arahan yang dikuatkuasakan di negeri ini khususnya di daerah Sabak Bernam untuk bersama-sama mencegah penyebaran wabak koronavirus (COVID-19).

Sumber: Sinar Harian

#StayHome #BeSafe #Pray4Malaysia
HELP BREAK THE COVID-19 CHAIN

Image may contain: outdoor and text
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS