Keratan Akhbar

SCAM ALERT: PEMILIK TERIMA ‘HABUAN’ RM2,000 SETIAP TRANSAKSI

Kuala Lumpur, 18 Oktober 2020 - Lebih 80,000 akaun keldai milik individu yang membenarkan sindiket menggunakannya bagi aktiviti penipuan dalam talian, dikesan dari 1 Januari 2019 hingga 9 Oktober lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), CP Dato’ Zainuddin Yaacob, berkata akaun keldai merujuk kepada akaun yang dibenarkan atau diberikan oleh pemiliknya kepada sindiket keldai akaun untuk digunakan pihak ketiga tanpa mengetahui tujuan sebenar penggunaan akaun itu.

Katanya, sindiket memperdaya mangsa menyebabkan mereka sanggup 'meminjamkan' kad pengeluaran wang automatik (ATM) dan nombor pin dengan bayaran antara RM200 hingga RM2,000 bagi setiap transaksi.

"Modus operandi sindiket ini untuk mendapatkan akaun berkenaan adalah melalui tawaran iklan di media sosial atau ditawarkan melalui rakan dengan jumlah bayaran tertentu.

"Antara alasan yang digunakan adalah untuk tujuan perniagaan dan sebagainya yang sasaran mereka terdiri daripada golongan yang memerlukan seperti penagih dadah, suri rumah dan pelajar," katanya kepada BERNAMA dalam temu bual eksklusif baru-ba-ru ini.

Jelasnya, dalam kes tertentu ada juga individu yang membuat pinjaman wang daripada ahlong yang kemudian diarahkan untuk memberikan kad ATM dan nombor pin sebagai syarat untuk pembayaran semula.

Dato’ Zainuddin berkata, tahun lalu, sebanyak 18.130 akaun keldai disita dan dibekukan, manakala tahun ini sehingga 9 Oktober lalu, sebanyak 16,429 akaun diambil tindakan sama.

Bacaan lanjut seperti dalam keratan akhbar terbitan Berita Harian.

Sumber: Berita Harian Online

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS