Siaran Media

Kenyataan Media Kes Culik





Polis Diraja Malaysia telah berjaya menumpaskan satu kumpulan penjenayah bersenjata yang telah melakukan beberapakes culik untuk tebusan. Kumpulan ini telah bergiat aktif di negeri Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Perak. Setakat ini, seramai 16 ahli kumpulan ini diberkas oleh polis. Suspek-suspek, iaitu 13 lelaki dan 5 perempuan berumur di antara 21 hingga 41 tahun.

 

Berikutan penahanan ini, pada 12 September 2008, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman telah berjaya merampas 2 pucuk pistol dan 48 butir peluru yang disembunyikan oleh salah seorang ahli kumpulan ini di sebuah rumah di Pulau Pinang.

 

Seterusnya, pada 15 September 2008, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman telah merampas 1 pucuk pistol, 8 butir peluru, 3 bom tangan, 2 pasang gari dan ski mask yang disembunyikan oleh salah seorang ahli kumpulan ini di sebuah rumah di Seremban.

 

Siasatan polis setakat ini mendedahkan bahawa kumpulan ini telah melakukan 9 kes culik untuk tebusan. Mangsa-mangsa yang diculik berumur antara 7 hingga 54 tahun. Jumlah wang tebusan yang diminta oleh kumpulan ini adalah antara RM1 juta hingga RM50 juta. Jumlah wang tebusan yang telah dibayar oleh keluarga-keluarga mangsa kepada kumpulan ini adalah antara RM500,000.00 dan RM8 juta. Dalam semua kes, mangsa telah dibebaskan setelah wang tebusan dibayar oleh mangsa.

 

Siasatan sedang dijalankan terhadap saspek-saspek di bawah Akta Culik 1961 dan Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1977.

 

Sejak kebelakangan ini, polis mendapati bahawa kumpulan-kumpulan culik untuk tebusan telah bertindak lebih ganas dan kejam dengan menggunakan senjata merbahaya dan mendatangkan kematian atau cedera parah kepada mangsa. Kes terbaru ialah di mana seorang pelajar berumur 16 tahun telah dibunuh oleh penculik dan mayatnya dibakar di Johor.

 

Pihak polis meminta orang ramai bekerjasama dan membantu polis memerangi jenayah ini dengan menyalurkan maklumat penting dengan pantas.

 

 

 




t.t
SAC I SHATAR BIN ABDUL JALIL

 

Timbalan Pengarah

Jabatan Siasatan Jenayah

 

17 September 2008.

Jumlah Bacaan : 41
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS