Siaran Media

Tangkapan Pengedar Dadah






Berpandukan kepada maklumat yang diterima tentang satu transaksi pengedaran dadah di kawasan Kg. Melayu Subang, Selangor, pada 18 Oktober 2008 lebih kurang jam 11.45 pagi, sepasukan pegawai dan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman telah pergi ke Kg. Melayu Subang dan telah mengesan sebuah kenderaan yang mencurigakan di hadapan sebuah rumah.

 

Pihak polis telah menahan dua orang lelaki Melayu berumur 44 dan 47 tahun di luar rumah tersebut dan menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah van yang berada di luar rumah kepunyaan salah seorang lelaki Melayu itu. Dalam pemeriksaan itu polis menjumpai tiga plastik yang berisi 10 ketulan mampat disyaki ganja. Jumlah semua dadah disyaki ganja adalah 30 ketul di mana berat dianggarkan 25.53 kilogram. Pemeriksaan dalam rumah tersebut pihak polis menahan seorang lelaki dan dua perempuan Melayu dan menjumpai satu plastik biru/putih di dalamnya mengandungi satu kotak rokok jenama Dunhill di dalamnya mengandungi daun-daun kering disyaki ganja anggaran berat 20 gram. Kesemua mereka telah ditangkap serta barang kes dirampas untuk siasatan lanjut.

 

Maklumat juga mendedahkan terdapat seorang lelaki Cina yang menghantar ganja tersebut dan usaha mencari dan mengesan dijalankan. Pada jam 1.50 petang, hari yang sama kereta yang dinaiki oleh seorang lelaki Cina yang berumur 43 tahun ini telah dikesan di lebuhraya menghala ke utara dan pihak polis telah berjaya menahan dan menangkap lelaki Cina ini di KM 331.2 berdekatan R&R Tapah arah utara. Pemeriksaan terhadapnya dan kereta yang dinaiki, pihak polis telah menjumpai sepucuk pistol jenis Pietro Beretta dan 1 kelopak peluru beserta 47 butir peluru 9mm di bahagian ruang simpanan di bahagian belakang penumpang sebelah kiri speaker. Selain itu pihak polis juga merampas dadah yang disyaki syabu anggaran berat 1.9 gram, Wang tunai sebanyak RM11,700.00, Wang tunai Thai- 3040 Bhat, Wang China- 86 Yuan, Wang Indonesia- 600 Rupiah, Wang Korea- 20 Won, Wang Filipina- 20 Peso, Cek Maybank No. Siri 27-52115 berjumlah RM 10,000.00 juga turut dirampas dari lelaki Cina ini.

 

Kesemua tangkapan adalah berjumlah enam orang iaitu tiga lelaki Melayu, seorang lelaki Cina dan dua perempuan Melayu.

 

Kesemua mereka telah direman untuk siasatan lanjut.

Jumlah Bacaan : 41
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS