Siaran Media

KENYATAAN MEDIA KETUA POLIS KUALA LUMPUR

Bersabit Kejadian Yang Berlaku Di Plaza Low Yat, Kuala Lumpur.

Merujuk kepada laporan akhbar Utusan Malaysia, muka surat 1 dan 6 bertarikh 15 Julai 2015, Polis Kuala Lumpur ingin menegaskan bahawa siasatan bersabit kejadian yang berlaku pada 11 Julai 2015 hingga 13 Julai 2015 di Plaza Low Yat, Kuala Lumpur adalah menyeluruh. Siasatan dijalankan meliputi kes kecurian, merusuh, melakukan khianat dan hasutan disamping mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Ekoran daripada itu, Polis Kuala Lumpur telah membuka kertas siasatan untuk kes kecurian dengan pertuduhan terhadap seorang lelaki Melayu telah dilakukan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan. Sejak insiden tersebut, seramai ( 25 ) individu telah ditangkap untuk siasatan lanjut. Di antaranya termasuklah empat lelaki Cina dan seorang lelaki Melayu yang ditangkap di bawah Seksyen 147 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan melakukan khianat, manakala seorang lagi lelaki Melayu telah ditahan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan. Polis Kuala Lumpur masih meneruskan siasatan bagi mengenal pasti beberapa lagi individu yang terlibat.

Orang ramai, khususnya NGO dinasihatkan supaya tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh menggangu siasatan yang sedang dijalankan oleh pihak polis. Polis Kuala Lumpur juga menyeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian tersebut untuk tampil membantu siasatan, agar siasatan yang telus dapat dijalankan meliputi segala aspek .


PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS