Siaran Media

KENYATAAN MEDIA: TANGKAPAN WARGANEGARA ASING YANG DISYAKI TERLIBAT DALAM KUMPULAN PENGGANAS IS


PADA 15 SEPTEMBER 2015, BAHAGIAN COUNTER TERRORISM CAWANGAN KHAS TELAH MELANCARKAN OPERASI KHAS DI KUALA LUMPUR YANG MEMBAWA KEPADA KEJAYAAN MENANGKAP SEORANG WARGANEGARA ASING YANG DISYAKI TERLIBAT DALAM KUMPULAN PENGGANAS ISLAMIC STATE (IS). SUSPEK YANG BERUSIA 20 TAHUN MEMASUKI MALAYSIA PADA OGOS 2014 UNTUK MELANJUTKAN PENGAJIANNYA DI SALAH SEBUAH INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI SWASTA DI KUALA LUMPUR DALAM BIDANG SAINS KOMPUTER DAN KOMPUTER FORENSIK.

2. SIASATAN AWAL MENDAPATI BELIAU TELAH BERKOMUNIKASI DENGAN SALAH SEORANG PEMIMPIN KANAN KUMPULAN ISLAMIC STATE DI SYRIA UNTUK MENGGODAM BEBERAPA ‘SERVER’ YANG MENGANDUNGI MAKLUMAT MENGENAI BUTIR-BUTIR ANGGOTA PASUKAN KESELAMATAN AMERIKA SYARIKAT. MAKLUMAT TERSEBUT KEMUDIANNYA DISALURKAN KEPADA BAHAGIAN OPERASI KUMPULAN PENGGANAS ISLAMIC STATE UNTUK TINDAKAN SUSULAN MEREKA.

3. TANGKAPAN AWAL SUSPEK INI ADALAH DI BAWAH AKTA KESALAHAN KESELAMATAN (LANGKAH-LANGKAH KHAS) 2012. SUSPEK KEMUDIANNYA DITANGKAP DI BAWAH ‘PROVISIONAL WARRANT OF ARREST’ YANG DIKELUARKAN OLEH MAHKAMAH DAN KINI DITAHAN DI BAWAH AKTA EKSTRADISI 1992 SEMENTARA MENUNGGU PROSIDING EKSTRADISI KE AMERIKA SYARIKAT.

4. TANGKAPAN INI ADALAH HASIL KERJASAMA ERAT PDRM DENGAN PIHAK BIRO SIASATAN PERSEKUTUAN (FBI) DALAM MENANGANI ANCAMAN KEGANASAN KHUSUSNYA ANCAMAN KUMPULAN PENGGANAS ISLAMIC STATE YANG BERSIFAT RENTAS SEMPADAN.

( TAN SRI DATO’ SRI KHALID BIN ABU BAKAR ) IG
KETUA POLIS NEGARA
POLIS DIRAJA MALAYSIA
 

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS