Khidmat Mesra



Dalam usaha untuk mempertingkatkan mutu perkhidmatan kepada masyarakat, pucuk pimpinan PDRM telah memperkenalkan pendekatan KHIDMAT MESRA (Friendly Policing). Ini selaras dengan matlamat Kementerian Dalam Negeri untuk menjadikannya sebagai Kementerian MESRA RAKYAT.

Secara ringkasnya, MESRA didefinisikan sebagai interaksi yang harmoni antara individu yang berteraskan keikhlasan dan kejujuran. Mesra itu sendiri membawa maksud bahawa segala pemikiran dan tindakan itu mempunyai nilai-nilai kemanusiaan sejagat. Dalam konteks PDRM, ia merujuk kepada interaksi ahli pasukan dengan pelanggan iaitu orang ramai.

Mesra juga merupakan satu cara berfikir dan tindakan yang boleh diaplikasikan dalam semua situasi kehidupan seharian dan semasa menjalankan tugas.

Pembudayaan Khidmat Mesra akan mudah dapat dilihat dalam tiga situasi iaitu dalam hubungan polis dengan rakyat, polis sesama sendiri dan anggota polis dengan ahli keluarga masing-masing. Konsep KHIDMAT MESRA ini adalah berteraskan kepada visi pasukan iaitu meningkatkan profesionalisme pegawai dan anggota. Hubungan mesra akan menjalinkan suasana yang harmonis dan saling menghormati antara polis dan orang ramai.

Matlamat membudayakan konsep KHIDMAT MESRA adalah untuk :-

memupuk kesedaran di segenap lapisan pegawai dan anggota dalam PDRM bahawa kemesraan boleh membawa keharmonian dan kestabilan serta keyakinan rakyat kepada pasukan polis. Seterusnya dapat meningkatkan penyertaan dan kerjasama dua hala (polis dan orang ramai) dalam mengekalkan ketenteraman dan keselamatan negara. 

Rakyat melihat dan menilai pasukan polis sebagai satu badan penguatkuasa undang-undang yang adil, amanah dan bertimbang rasa. Setiap pegawai polis sebagai pelindung nyawa dan harta benda mereka. 
mempereratkan hubungan setiakawan di kalangan rakan sejawat serta memupuk semangat kerja berpasukan.
 
Untuk merealisasikan pendekatan ini Ketua Polis Negara telah mengisytiharkan Moto Pasukan Polis yang baru iaitu MESRA, CEPAT DAN BETUL sempena sambutan Peringatan Hari Polis ke-192 pada 25 Mac 1999.

Selaras dengan usaha membudayakan konsep MESRA ini, semua pegawai dan anggota PDRM akan memakai lencana di saku baju sebelah kiri sebagai tanda komited untuk mendukung iltizam pasukan ini.

 

Pasukan turut mencetak poster dan 'sticker' kenderaan  bagi kegunaan di pejabat-pejabat dan dalam kenderaan pasukan untuk mengingatkan setiap anggota pada setiap masa supaya memberikan perkhidmatan yang mesra kepada masyarakat. 

Poster dan 'sticker' ini bertujuan untuk memperingatkan warga polis bahawa teras tatalaku sepanjang masa ialah MESRA. Di sini cukup jelas bahawa sasarannya ialah anggota pasukan sendiri, disamping ia juga akan mempengaruhi ahli masyarakat yang membacanya.

Poster ini hendaklah dipamerkan di tempat yang mudah dilihat oleh anggota, di pejabat-pejabat pertanyaan di Ibu Pejabat, Balai, Pondok, Pengkalan, Unit atau tempat mana anggota ramai berkumpul. Peringatan yang berterusan ini akan memberi kesan positif kepada anggota polis dalam menjalinkan perhubungan rasmi, sosial dan kekeluargaan.

Di antara ciri-ciri "Khidmat Mesra" ialah kesediaan untuk bermesra, peramah dan berbudi bahasa, tingkahlaku dan pertuturan yang sopan, sentiasa bersedia untuk menolong, nada suara yang tidak dipengaruhi emosi, tidak emosional dan tenggelam punca, air muka yang manis, menghindari perang mulut, tenang dan mengawal keadaan, bersabar dan tidak menyeleweng, pendengar yang baik, mengutamakan maklumat daripada sentimen, memberi penjelasan bukan leteran, cekal hati dan tegas.
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS