Info Peristiwa

#InfoPeristiwa: PEMBUNUHAN TAN SRI ABDUL RAHMAN OLEH ANGGOTA PKM SEBAGAI PERBUATAN JENAYAH PALING KEJAM

Pada 7 Jun 1974, Polis Diraja Malaysia (PDRM) kehilangan seorang pemimpin berkaliber selepas Ketua Polis Negara (KPN) ketika itu, Tan Sri Abdul Rahman Hashim terbunuh dalam kejadian tembakan di persimpangan Jalan Mountbatten (kini Jalan Tun Perak), berhampiran Bangunan Lee Yan Lian, Kuala Lumpur.

Sebelum kejadian, Tan Sri Abdul Rahman, 50, sedang dalam perjalanan ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman bagi menghadiri satu mesyuarat dengan menaiki kenderaan rasmi jenis Mercedes Benz 250 yang dipandu oleh Sarjan Omar Yunus.

Kenderaan tersebut kemudiannya berhenti pada persimpangan jalan berkenaan kira-kira pukul 8.20 pagi kerana kesesakan lalu lintas sebelum didatangi dua lelaki tidak dikenali dengan menaiki sebuah motosikal.

Kedua-dua lelaki yang merupakan anggota subversif Parti Komunis Malaya (PKM) berkenaan telah memecahkan cermin di bahagian tempat duduk belakang sebelum melepaskan tembakan bertubi-tubi ke arah Tan Sri Abdul Rahman dan pemandunya. Kedua-dua penyerang kemudiannya melarikan diri ke arah Perhentian Teksi Toong Foong (kini Hentian Puduraya).

Daripada 11 tembakan yang dilepaskan, tujuh daripadanya mengenai bahu kiri, rusuk dan pangkal peha Tan Sri Abdul Rahman. Manakala Sarjan Omar pula mengalami kecederaan pada bahagian leher dan dagu.

Malangnya, kecederaan parah yang dialami Tan Sri Abdul Rahman menyebabkan beliau gagal diselamatkan, dan menghembuskan nafas terakhir pada pukul 8.30 pagi ketika dalam perjalanan ke Hospital Besar Kuala Lumpur (kini Hospital Kuala Lumpur). Beliau meninggalkan seorang balu, Puan Sri Hajah Halimah Mohd. Isa bersama tujuh cahaya mata, iaitu lima lelaki dan dua perempuan.

Berita kematian Allahyarham Tan Sri Abdul Rahman telah menggemparkan seluruh negara dan Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Tun Abdul Razak Dato' Hussein ternyata begitu sedih dengan tragedi yang berlaku.

Beliau turut menyifatkan pembunuhan Allahyarham sebagai perbuatan jenayah paling kejam dan tidak akan dilupakan oleh rakyat dan negara.

Allahyarham Tan Sri Abdul Rahman merupakan KPN ke-3 yang dilantik meneraju PDRM pada 1 Februari 1973. Pengalaman luas beliau selama 33 tahun dalam bidang kepolisan telah berjaya menempatkan PDRM sebagai sebuah Pasukan keselamatan yang mantap dan disegani.

Semoga roh Allahyarham Tan Sri Abdul Rahman sentiasa dicucuri rahmatNya dan ditempatkan bersama para syuhada. Al- Fatihah.

Ingin ketahui lebih banyak lagi informasi berkaitan sejarah dan artifak PDRM? Ayuh layari dan 'Like' FB Muzium Polis Diraja Malaysia!

Image may contain: 2 people
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS