Menu

WARGA ASING DITAHAN BERHUBUNG KES BUNUH PEKERJA BARANG LUSUH

Tapah, 28 Ogos - Seorang warga asing ditahan dipercayai terlibat dalam kes bunuh seorang lelaki di sebuah premis menjual barang lusuh di Kawasan Perindustrian Bidor semalam.

Ketua Polis Daerah Tapah, ACP Som Sak Din Keliaw berkata lelaki berusia lingkungan 30-an itu ditahan di sekitar kawasan berkenaan kira-kira 12 tengah hari iaitu empat jam selepas insiden tersebut.

Dalam kejadian kira-kira 8.20 pagi, mayat M. Nganasekar, 36, dari
Sitiawan ditemui dalam keadaan terbaring di atas lantai dengan berlumuran darah serta kesan luka di leher akibat dikelar.

Difahamkan suspek merupakan rakan sekerja mangsa dan pihak polis turut menemui sebilah pisau yang mempunyai kesan darah berhampiran tempat kejadian, katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah hari ini.

Som Sak berkata motif kejadian belum diketahui.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu diminta menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Tapah, ASP Mad Nasri Fadzir di talian 05-4015 222 atau balai polis berdekatan. - BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS