Menu

POLIS SUDAH KENAL PASTI IDENTITI MANGSA KEMALANGAN HANGUS DI TAPAH

Identiti mangsa yang hangus dalam kemalangan dua kenderaan di Kilometer 321.6 Lebuhraya PLUS arah utara dekat Tapah, hari ini dikenal pasti sebagai Lim Chin Teck, 26.

Dalam kejadian 3.15 pagi itu, kemalangan membabitkan Proton Iswara dan Toyota Estima mengakibatkan kedua-dua kenderaan itu terbakar.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Som Sak Din Keliaw berkata, mangsa yang juga pemandu Iswara meninggal dunia di lokasi kejadian selepas terbakar 50 peratus anggotanya.

Katanya, tiga lagi mangsa berusia 14 hingga 53 tahun yang menaiki Estima tidak mengalami sebarang kecederaan namun dibawa ke Hospital Kampar untuk menerima rawatan.

Menurutnya, siasatan awal polis mendapati mangsa dari arah Kuala Lumpur menghala ke Taiping manakala Estima dipandu lelaki berusia 26 tahun bersama bapa dan adiknya dari arah Kuala Lumpur ke Bagan Serai.

"Sebaik sampai di lokasi kejadian, mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas melanggar besi penghadang jalan di lorong kecemasan dan memasuki lorong kanan sebelum Estima yang berada di lorong kanan tidak sempat mengelak dan melanggar kereta mangsa.

"Kedua-dua kenderaan terseret sejauh 100 meter sebelum terbakar menyebabkan pemandu Iswara yang tersepit hangus manakala tiga mangsa di dalam estima berjaya keluar," katanya.

Som Sak berkata, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Tapah untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber: Harian Metro

 
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS