Menu

POLIS TAHAN LELAKI BERSAMA 2,054 GRAM DADAH SYABU

POLIS TAHAN LELAKI BERSAMA 2,054 GRAM DADAH SYABU

TAWAU, 28 Nov (Bernama) --- Polis menahan seorang lelaki bersama dadah jenis syabu seberat 2,054 gram di sebuah hotel bajet di Sabindo Sqaure di sini, pada Ahad lepas.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Supt Nor Azizulkifli Mansor berkata lelaki yang tidak memiliki  dokumen keterangan diri berusia 22 tahun itu ditahan pada pukul 12.05 tengah malam oleh sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dan JSJN Tawau.

"Suspek ditahan ketika memegang sebuah bagasi berjenama Polo Season dan pemeriksaan polis terhadap kandungan beg menemukan dua bungkusan plastik teh berjenama Guanyinwang.

"Pemeriksaan lanjut terhadap setiap satu bungkusan itu didapati mengandungi  satu  paket  plastik  lutsinar yang berisi ketulan hablur jernih dipercayai dadah jenis syabu dan dianggarkan nilai  keseluruhan  rampasan RM140,000," katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Azizulkifli berkata, suspek yang ditahan itu tidak memiliki rekod jenayah lampau tetapi ujian saringan air kencing didapati positif dadah jenis syabu.

Menurutnya suspek kini ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah sejak Ahad lepas sehingga 2 Disember ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15 (1) (a) akta yang sama.

"Masih dalam siasatan sama ada suspek pengedar dadah atau keldai dadah," katanya dan suspek  disyaki tiba beberapa hari awal di Tawau sebelum ditangkap hasil maklumat orang awam.

Beliau turut percaya bahawa setiap kegiatan pengedaran dadah di daerah ini memiliki jaringan dengan negara jiran ekoran Tawau bersempadan dengan Indonesia.

Sementara itu, Azizulkifli menzahirkan rasa terima kasih kepada masyarakat setempat berikutan kesedaran penduduk yang meningkat dalam menyalurkan maklumat awal kepada polis untuk membanteras kegiatan jenayah termasuk pengedaran dadah di Tawau.

-- BERNAMA
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS