Menu

POLIS TAHAN 31 WARGA ASING DI MIRI

Miri, 21 Februari 2018 – Seorang majikan serta 31 warga asing, termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun, adalah antara yang ditahan di dua lokasi berasingan dalam operasi bersepadu semalam.

Pegawai Pemerintah Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 12 Miri, Superintenden Tan Hiap Seng berkata, operasi di sebuah tapak pembinaan perumahan di Senadin dan sebuah tapak pembinaan pencawang Sarawak Energy Berhad (SEB) di Tudan dilakukan pada pukul 9.30 pagi semalam bersama dengan Jabatan Imigresen.

“Seorang lelaki berusia 27 tahun berasal dari Selangor yang merupakan majikan kepada tapak projek pembinaan pencawang SEB di Tudan turut ditahan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tan berkata, kesemua 31 orang warga asing tersebut ditahan atas pelbagai kesalahan iaitu tinggal lebih masa di negara ini, menyalahgunakan lawatan sosial untuk tujuan bekerja dan memasuki negara secara haram di bawah Akta Imigresen 1959/1963.

“Kesemua tangkapan dibawa ke Depot Imigresen Bekenu dan kes diserahkan kepada Jabatan Imigresen Miri untuk tindakan susulan,” katanya.

- BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS