Menu

POLIS SARAWAK TAHAN 54 KAKI JUDI MINGGU LALU

Kuching, 12 Mac 2018 - Seramai 54 individu yang disyaki terlibat dalam aktiviti perjudian haram ditahan di 14 buah daerah di negeri ini sepanjang minggu lalu.

Kesemua kaki judi terbabit diberkas menerusi 40 serbuan yang dilakukan sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak mulai 5 hingga 11 Mac lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Datuk Dev Kumar berkata, semua yang ditahan termasuk lima warga asing itu berusia antara 16 hingga 52 tahun.

Menurut beliau, daripada 40 serbuan itu, 34 operasi telah dilakukan di premis menjual loteri haram, lima di pusat judi dalam talian, manakala satu lagi di tempat judi terbuka.

"Hasil serbuan polis telah merampas pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan untuk melakukan jenayah itu.

"Polis juga merampas wang tunai sebanyak RM17,898 disyaki hasil kegiatan judi haram tersebut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dev menambah, kesemua serbuan itu dilakukan di daerah Kuching, Simunjan, Miri, Sibu, Kota Samarahan, Serian, Bintulu, Padawan, Mukah, Meradong, Sri Aman, Bau dan Julau.

Katanya, kesemua individu terbabit kini ditahan reman untuk siasatan lanjut.

"Kes itu disiasat mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953," ujarnya lagi. - K! ONLINE

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS