Menu

POLIS TUMPASKAN GENG 'WAN TENTERA' TERLIBAT PECAH RUMAH

Bukit Mertajam, 18 Mac 2018 - Polis menumpaskan geng pecah rumah ‘Wan Tentera’ yang dipercayai terbabit dalam lebih 10 kes di daerah ini selepas menahan tiga lelaki dalam dua serbuan di sini pada Jumaat dan semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata dalam serbuan pertama di sebuah rumah di Taman Sri Janggus, Alma di sini kira-kira 4 petang Jumaat, seorang lelaki berusia 27 tahun yang juga bekas anggota tentera ditahn.

"Susulan siasatan, polis menyerbu sebuah rumah di Taman Alma Jaya kira-kira 5.45 pagi semalam dan menahan dua lelaki berusia 20 dan 29 tahun yang merupakan rakan kepada bekas anggota tentera terbabit.

"Tiga lelaki itu dipercayai terlibat lebih 10 kes pecah rumah di sekitar Bukit Mertajam sejak awal tahun ini dan polis turut merampas pelbagai barangan hasil kegiatan jenayah bersama mereka," katanya, di sini hari ini.

Beliau berkata antara barangan yang dirampas ialah barangan elektrik, telefon bimbit dan jam tangan pelbagai jenama terkenal serta peralatan untuk kegiatan pecah rumah.

Nik Ros Azhan berkata ketiga-tiganya yang mempunyai pelbagai rekod lampau melibatkan jenayah dan dadah kini direman lima hari bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Mengulas kes lain, beliau berkata polis menahan dua remaja lelaki berusia 16 dan 17 tahun yang disyaki terlibat dalam kegiatan curi motosikal di depan sebuah pusat karaoke di Bandar Perda, di sini kira-kira 1.30 pagi tadi.

"Semasa ditahan mereka berada di atas sebuah motosikal jenis Honda Ex-5 dalam keadaan mencurigakan dan pemeriksaan mendapati kenderaan itu dilaporkan hilang di Seberang Jaya baru-baru ini," katanya.

Beliau berkata susulan penahanan mereka, polis menyerbu sebuah stor di Bukit Mertajam dan merampas pelbagai komponen motosikal yang telah dileraikan dipercayai hasil kegiatan curi dua remaja yang sudah tidak bersekolah itu.

Katanya mereka terlibat dalam kegiatan itu sejak tahun lepas dan dua remaja berkenaan kini direman untuk siasatan lanjut.

- BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS