Menu

LIMA REMAJA DITAHAN TERLIBAT KES CURI MOTOR

Lumut, 2 Julai - Polis menahan lima remaja yang dipercayai terlibat dalam kes curi motosikal di Taman Bintang Pantai Remis di sini Jumaat lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Manjung, Deputi Superitenden Chong Boo Khim berkata, suspek pertama ditahan di tepi jalan besar ,Taman Bintang Pantai Remis dekat sini.

Menurutnya, susulan tangkapan tersebut, polis berjaya menahan empat rakan suspek di kawasan yang sama.

Beliau berkata, siasatan mendapati suspek telah mencuri motosikal di kawasan Pantai Remis dan meleraikan komponen motosikal tersebut.

“Rangka motosikal yang telah dilerai kemudiannya dibuang di dalam kolam ikan di belakang rumah suspek dan polis menemukan dua rangka motosikal yang telah dileraikan di dalam kolam tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Daerah (IPD) Manjung di sini hari ini.

Katanya, suspek yang berusia antara 14 hingga 16 tahun dipercayai aktif mencuri motosikal sejak tiga bulan lalu untuk menjual komponen motosikal dengan harga murah di sekitar Pantai Remis dan untuk kegunaan sendiri.

Menurutnya, kesemua suspek yang tidak bersekolah tidak mempunyai rekod jenayah dan kini ditahan reman selama empat hari bermula 30 Jun lalu.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Chong Boo Khim berkata, polismenahan tiga lelaki yang cuba memecah masuk ke bangunan sarang burung di Jalan Baru, Ayer Tawar.

Menurutnya, hasil pemeriksaan polis menjumpai beberapa peralatan untuk memecah masuk ke bangunan sarang burung di dalam kereta Perodua Kancil yang dinaiki suspek.

“Antara peralatan yang dijumpai ialah segulung tali panjang, sebilah parang, sehelai sarung tangan, tukul besi dan gerudi,” katanya.

Menurut beliau, kesemua suspek berusia 18 hingga 38 tahun dan hanya seorang daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

“Kesemua suspek bergiat aktif dalam kes pecah bangunan sarang burung sejak tiga bulan yang lalu dan ujian air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah jenis syabu,” katanya.

Menurutnya, kes itu disiasat dibawah Seksyen 379/511 Kanun Keseksaan kerana cubaan melakukan curi. - UTUSAN ONLINE

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS