Menu

POLIS SERBU 13 PUSAT JUDI TANPA LESEN DI LABUAN

Labuan, 8 Julai 2018 - Polis melancarkan serbuan terhadap 13 pusat judi tanpa lesen di pulau bebas cukai ini dan memberkas empat suspek minggu lepas.

Ketua Polis Labuan Supt Muhamad Farid Ahmad berkata, susulan aduan daripada orang ramai, Jabatan Siasatan Jenayah (CID) Labuan melancarkan serbuan di beberapa kampung di sini.

"Serbuan terbaru dilancarkan pada Khamis malam di premis yang menjalankan aktiviti judi 'wahui' tanpa lesen di sebuah kampung di sini dan menahan pengendalinya," kata beliau kepada Bernama di sini, hari ini.

Antara judi haram yang popular di sini ialah wahui, empat nombor ekor, judi secara dalam talian dan ketam-ketam.

Muhamad Farid berkata, dalam serbuan itu, polis merampas wang, token yang digunakan untuk berjudi secara dalam talian dan peralatan perjudian lain.

Antara premis digunakan bagi kegiatan haram itu ialah rumah, stor, bengkel kenderaan terbiar, kedai runcit dan gerai haram di tepi pantai.

Pusat perjudian tanpa lesen itu dikesan di Pohon Batu, Lubok Temiang, Layangan, Kilan, Lajau, Kerupang dan pasar sayur-sayuran Kg Pantai

"Kami hanya dapat selesaikan masalah sosial ini sekiranya mendapat kerjasama rapat daripada orang ramai dan anggota masyarakat pula janganlah jadikan berjudi sebagai suatu tabiat," kata Muhamad Farid.

Beliau berkata polis akan terus memantau aktiviti judi tanpa lesen dan mengambil tindakan terhadap mereka yang terlibat. - BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS