Menu

POLIS TAHAN 11 INDIVIDU DIPERCAYAI TERLIBAT PECAH KILANG, CURI KENDERAAN

Johor Bahru, 4 Ogos 2018 - Polis menahan 10 lelaki dan seorang wanita dipercayai terlibat dalam kegiatan pecah masuk kilang dan curi kenderaan dalam beberapa tangkapan di sekitar bandar raya ini antara 19 dan 27 Julai lepas.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, ACP Shahurinain Jais berkata, kesemua mereka yang berumur antara 20 dan 55 tahun itu ditahan hasil maklumat orang awam.

"Hasil penahanan mereka, polis merampas sebuah kereta, dua lori dan beberapa barangan hasil kegiatan pecah kilang yang dipercayai dilakukan kesemua mereka.

"Menerusi penahanan itu, kita percaya berjaya menyelesaikan empat kes pecah kilang dan kedai, satu kes curi kereta serta enam kes curi lori yang kesemuanya melibatkan daerah sekitar Wilayah Pembangunan Iskandar," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Shahurinain berkata, enam daripada mereka termasuk wanita berkenaan, bagaimanapun, sudah dilepaskan dengan jaminan polis manakala lima lelaki yang lain kini direman sehingga 6 Ogos ini untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata, kes berhubung pecah kilang berkenaan disiasat mengikut Sesyen 457 Kanun Keseksaan manakala curi kereta dan lori mengikut Sesyen 379A kanun yang sama.

Katanya, pihaknya kini sedang mengesan seorang lagi lelaki berusia 28 tahun yang dipercayai terlibat dalam kes sama.

"Lelaki itu iaitu, Genggataran a/l Subramaniam yang beralamat terakhir di nombor 7, Jalan Kenanga 1/3, Taman Desa Cemerlang di sini, mempunyai enam rekod lampau dengan dua daripadanya adalah dikehendaki pihakpolis.

"Polis memohon kerjasama daripada orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai Genggataran supaya menghubungi talian hotline Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor 07-2212999 atau IPD Johor Bahru Selatan 07-2218999," katanya. - BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS