Menu

WANITA MENYAMAR PEGAWAI JKM, BAITULMAL UNTUK MENIPU DITAHAN POLIS

Bagan Serai, 16 Ogos 2018 - Kegiatan licik seorang penganggur menyamar sebagai pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Baitulmal dengan menjadikan warga emas sebagai mangsa penipuan tumpas apabila dia ditahan polis, awal bulan ini.

Ketua Polis Daerah Kerian Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, wanita yang perwatakan dan pakaian lelaki itu ditahan di sebuah rumah di Air Kuning, Taiping kira-kira jam 2 petang pada 3 Ogos lalu hasil siasatan serta laporan seorang mangsa.

Katanya, semasa ditahan polis turut merampas empat songkok berwarna hitam dan putih yang digunakan suspek, sebuah beg hitam dan beberapa kad bank.

Beliau memberitahu sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian di sini hari ini, dalam kejadian pada 27 Jun lalu, seorang wanita warga emas kerugian kira-kira RM12,000 selepas terpedaya dengan suspek yang datang ke rumahnya di Simpang Empat, Semanggol, dekat sini.

"Dalam kejadian itu suspek meminta mangsa menanggalkan barang kemas dan menyimpannya di dalam beg, buku bank dan telefon serta meminta mangsa masuk ke bilik untuk menukar pakaian kepada kain batik.

"Apabila mangsa keluar dari bilik, dia mendapati suspek sudah tiada dan melarikan pelbagai barang kemas, telefon yang bernilai RM10,000 serta wang tunai RM200 milik mangsa," katanya.

Omar Bakhtiar berkata, hasil siasatan ke atas suspek mendapati dia menjalankan kegiatan itu sejak 2010 di beberapa kawasan seperti di Pulau Pinang; Kulim, Kedah; Kuala Kangsar, Perak Tengah dan Selama, Perak.

"Di daerah Kerian sahaja suspek terbabit dengan 61 kes membabitkan kerugian berjumlah RM165,000," katanya sambil menambah suspek kini direman sejak ditangkap sehingga esok.

Beliau berkata, polis membuka 15 kertas siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri di dalam rumah dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar penjawat awam. - BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS