Menu

CUBAAN DUA LELAKI TEMPATAN SELUDUP PATI GAGAL

Johor Bahru, 17 Ogos 2018 – Cubaan dua lelaki tempatan untuk menyeludup masuk lima pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia ke negara ini gagal apabila mereka ditahan polis dalam rondaan cegah jenayah di Pantai Batu Bayar, Bayu Damai dekat Pengerang, dua hari lepas.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supt Ahsmon Bajah berkata kedua-dua lelaki masing-masing berusia 32 dan 42 tahun yang dipercayai merupakan tekong darat itu ditahan sepasukan anggota Ronda Cegah Jenayah (RCJ) Balai Polis Bayu Damai pada pukul 11.45 malam, Rabu.

Katanya daripada rondaan itu, polis turut menahan lima PATI Indonesia masing-masing tiga wanita dan dua lelaki berusia antara 28 hingga 50 tahun dan merampas wang tunai sebanyak RM12,200, mata wang Rupiah (enam juta), sebuah telefon bimbit dan sebuah kenderaan mewah.

“Hasil siasatan mendapati kedua-dua lelaki mempunyai rekod jenayah lampau masing-masing berkaitan dadah dan penipuan.

“Kedua-duanya ditahan reman sehingga 12 Sept ini bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Sesyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 kerana menjalankan kegiatan penyeludupan migran, manakala lima warga Indonesia berkenaan disiasat mengikut Sesyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1950/63 kerana tidak memiliki pas atau dokumen perjalanan sah,” katanya.

- BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS