Menu

LIMA LELAKI CUBA LARI DARIPADA PEMERIKSAAN POLIS DITAHAN

Ipoh, 3 September 2018 - Lima lelaki termasuk empat warga Myanmar yang menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda ditahan setelah mereka cuba lari daripada pemeriksaan anggota polis peronda awal pagi tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Abdul Rani Alias berkata, semasa kejadian, anggota polis dari Cawangan Unit Kereta Peronda (MPV) melakukan rondaan di Jalan Pengkalan Pegoh, Pasir Puteh di sini, ternampak sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton dipandu dalam keadaan mencurigakan pada kira-kira 5.30 pagi.

Polis kemudian meminta pemandu memberhentikan kenderaannya untuk tujuan pemeriksaan namun dia enggan dan sebaliknya terus memecut laju sehingga melanggar beberapa buah kenderaan.

"Kenderaan suspek kemudian merempuh palang Plaza Tol Simpang Pulai Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan kemudiannya menghala ke arah ke Cameron Highlands," katanya dalam satu kenyataan di sini, malam ini.

Beliau berkata, anggota polis terbabit kemudian menghubungi Pusat Kawalan Daerah (DCC) Ipoh pada kira-kira jam 5.40 pagi bagi mendapatkan bantuan untuk mengejar dan menahan suspek yang mahu melarikan diri itu.

Abdul Rani berkata, dalam adegan mengejar itu anggota polis yang menggunakan pembesar suara telah memberi amaran kepada suspek supaya memberhentikan kenderaan namun tidak dihiraukan.

"Anggota polis kemudian bertindak melepaskan dua das tembakan ke arah tayar belakang pacuan empat roda itu sebelum kenderaan itu terbabas ke dalam parit dan sejurus itu beberapa lelaki keluar dari kenderaan tersebut untuk melarikan diri," katanya.

Beliau berkata, namun begitu cubaan semua suspek untuk melarikan diri gagal apabila anggota polis berjaya menangkap kelima-lima mereka kira-kira jam 7.45 pagi.

"Ketika hendak ditahan berlaku pergelutan antara polis dan suspek sehingga menyebabkan kesemua suspek cedera ringan di kepala dan anggota badan kerana bertindak agresif ketika mahu melarikan diri," katanya.

Menurut Abdul Rani, hasil siasatan mendapati suspek lelaki tempatan berusia 29 tahun itu mempunyai dua rekod jenayah lampau manakala empat warga asing itu tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.

Katanya, hasil pemeriksaan ke atas kenderaan itu mendapati mereka menggunakan nombor pendaftaran palsu.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 55(e) Akta Imigresen dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963. - BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS