Menu

TIGA GENERASI DALAM PASUKAN, WARGA PDRM HARGAI KEPIMPINAN DATO’ SRI AMAR SINGH

Di sebalik wajahnya yang dikatakan sentiasa serius dan garang, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, CP Dato’ Sri Amar Singh Ishar Singh sebenarnya amat peramah dan baik hati dengan warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) terutamanya di kalangan warga JSJK yang sentiasa mendapat tempat teristimewa di hati beliau.

Sejarah terukir apabila Dato’ Sri Amar Singh, 60, adalah merupakan generasi ketiga dalam keluarganya yang telah mencurahkan khidmat dan bakti kepada pasukan setelah mendiang datuk dan ayahnya.

Ditanya salah seorang wartawan yang hadir dalam Majlis Serah Terima Tugas Pengarah JSJK di Dewan Tan Sri Khalid Abu Bakar, Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur pagi tadi, apakah beliau teruja untuk menjalani persaraan?

“Jika diberi pilihan untuk bekerja kembali, saya akan terus untuk berkhidmat dengan PDRM, kerana ianya satu kerjaya yang terbaik di dunia!”, jawab Pegawai Polis berbangsa Punjabi itu dengan senyuman yang paling manis di bibir.

Beliau sendiri mengakui tidak dapat digambarkan keseronokan bekerja bersama rakan-rakan dalam PDRM dan tidak pernah sesekali menganggap kerja sebagai seorang Pegawai Polis itu adalah sesuatu yang membebankan buat dirinya.

Menelusuri kerjaya beliau dalam PDRM, anak jati Kinta, Perak ini mula menyertai PDRM pada 27 Februari 1983 sebagai seorang Kadet ASP. Siswazah perundangan dari Universiti Malaya (UM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Buckingham, United Kingdom ini pernah berkhidmat di beberapa buah jabatan dan kontinjen dalam PDRM.

Antaranya sebagai Ketua Unit Pengajian Perundangan dan Pendakwaan di Maktab PDRM Kuala Lumpur sebelum dinaikkan ke pangkat SAC untuk menjawat jawatan Komandan PULAPOL Kuala Lumpur dari tahun 2007 sehingga 2010 lalu.

Kemudiannya, beliau dinaikkan ke pangkat DCP pada tahun 2010 untuk menjawat jawatan Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur dan menyahut seruan kerajaan ketika itu untuk memartabatkan PDRM ke arah “World Class Policing”. Buah tangannya bersama rakan-rakan seperjuangan lain dalam pasukanlah antara yang membantu menjadikan bandaraya Kuala Lumpur selamat untuk diduduki dan dikunjungi.

Karier beliau terus bersinar apabila pada tahun 2014 ditukarkan ke Bukit Aman untuk menjawat jawatan sebagai Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan/Perundangan) Bukit Aman dan pernah diamanahkan oleh Ketua Polis Negara ketika itu untuk mengetuai kumpulan siasatan insiden yang menimpa Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) iaitu MH17.

Kemuncak karier beliau adalah dinaikkan ke pangkat CP pada tahun 2016 lalu dan seterusnya dilantik menjadi Ketua Polis Kuala Lumpur. Beliau kemudiannya dilantik sebagai Pengarah JSJK pada Oktober 2017 dan telah menggemudi jabatan terpenting untuk membanteras dan melumpuhkan sindiket jenayah kolar putih yang ada dalam negara. Pelbagai kejayaan telah dicatatkan oleh JSJK sepanjang beliau mengepalai jabatan tersebut. 

Setelah hampir 35 tahun mengerah keringat dan mencurah bakti, maka esok akan secara rasminya beliau menamatkan satu perkhidmatan yang panjang dalam dunia kepolisan.

Sebagai tanda penghargaan di atas khidmat bakti beliau dalam pasukan selama ini, Majlis Paluan Berundur telah diadakan di Dataran Kawad PULAPOL Kuala Lumpur, petang tadi. Jelas dapat dilihat walaupun jauh di sudut hati kecilnya amat berat untuk meninggalkan pasukan beruniform yang amat disayanginya ini, namun beliau bangga  telah berjaya menyelesaikan segala tugas yang telah diamanahkan kepada beliau selama ini.

Terdahulu di sebelah pagi, Dato’ Sri Amar Singh telah menyerahkan jawatan Pengarah JSJK kepada timbalannya, DCP Datuk Saiful Azly Kamaruddin dengan disaksikan oleh Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Dato’ Sri Mohamad Fuzi Harun bersama lebih 700 jemputan yang hadir.

Majlis turut disusuli dengan Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) kepada 90 warga PDRM bagi menghargai khidmat dan bakti mereka kepada pasukan serta Majlis Pelancaran Sistem E-Siar versi terbaharu oleh Bahagian Teknologi Maklumat, Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi (StaRT) Bukit Aman.

Manakala di sebelah petangnya pula telah diadakan upacara sembahyang khas kesyukuran pengganut agama Sikh di Gurdwara Sahib PULAPOL Kuala Lumpur dengan turut dihadiri ahli keluarga dan rakan-rakan terdekat beliau.

Yang turut hadir tadi, Timbalan Ketua Polis Negara, DIG Tan Sri Dato’ Sri Noor Rashid Ibrahim, barisan bekas Ketua Polis Negara, barisan Pengarah PDRM dan isteri dan rakan-rakan media.

0R9A9489
Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil di antara Dato' Sri Amar Singh Ishar Singh dengan DCP Datuk Saiful Azly Haji Kamaruddin serta pertukaran dokumen rasmi dan penyerahan tongkat kuasa disaksikan oleh Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Dato’ Sri Mohamad Fuzi Harun.

0S4A3758
Sekitar upacara sembahyang khas kesyukuran pengganut agama Sikh di Gurdwara Sahib PULAPOL Kuala Lumpur.

_MG_2313
CP Dato' Sri Amar Singh ketika memimpin persembahan pancaragam.

0S5A2466
CP Dato' Sri Amar Singh menaiki kenderaan istiadat ke Balai Pengawal PULAPOL KL.

_MG_2431
Ketua Polis Negara, Tan Sri Dato' Sri Mohamad Fuzi Harun menyampaikan cenderahati kepada CP Dato’ Sri Amar Singh.

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS