Menu

TIGA LELAKI TERMASUK DUA BERANAK DITAHAN EDAR DADAH

#WarAgainstDrugs

George Town, 1 November 2019 - Polis menahan tiga lelaki termasuk dua beranak dan berjaya membongkar makmal memproses heroin serta menumpaskan sindiket pengedaran dadah dalam serbuan berasingan di Pulau Pinang dan Perak pada Rabu lepas.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, DCP Dato' Roslee Chik berkata polis menyerbu sebuah rumah flat di Mak Mandin, Butterworth dekat sini pukul 12.05 tengah malam dan menahan seorang lelaki berumur 51 tahun bersama anak lelakinya berumur 25 tahun sebelum menyerbu sebuah lagi rumah di kawasan sama serta menangkap lelaki berumur 54 tahun.

"Polis menjalankan risikan dan intipan sejak dua minggu lepas sebelum menyerbu rumah pertama yang merupakan milik dalang utama sindiket itu serta menemui pelbagai jenis dadah di rumah itu, seterusnya kami menyerbu sebuah lagi rumah di kawasan Aulong, Taiping di Perak dan berjaya membongkar makmal dadah di situ," katanya.

Katanya ekoran serbuan itu, polis merampas heroin seberat 13,168 gram (g), kafein (2,200 g), 95.4 g (syabu) dan 760 biji pil esktasi yang kesemuanya bernilai RM300,000 serta pelbagai peralatan untuk memproses dadah.

Menurutnya, siasatan mendapati sindiket itu menjadikan rumah jenis taman di Aulong sebagai makmal memproses heroin dan tempat membungkus dadah malah lelaki berumur 54 tahun yang ditahan dalam operasi tersebut memang mempunyai kepakaran untuk memasak heroin.

DCP Dato' Roslee berkata kesemua dadah yang siap diproses dan dibungkus akan dibawa ke Mak Mandin sebelum ketua geng dan anaknya mengedarkan kepada pelanggan mereka di sekitar kawasan utara.

"Siasatan polis juga mendapati sindiket dikenali sebagai ‘blood’ itu baru sebulan beroperasi selepas ketuanya dibebaskan daripada penjara kerana kesalahan dadah dan mereka juga dalam perancangan memindahkan makmal memproses heroin tersebut ke Mak Mandin," katanya.

Katanya, anak kepada ketua geng itu sebelum ini bekerja sebagai jurujual di Singapura namun ayahnya mengarahkan lelaki tersebut pulang ke Pulau Pinang untuk membantu kegiatan pengedaran dadah sindiket berkenaan dan dalam masa sama belajar memproses heroin daripada suspek ketiga.

Beliau berkata tiga lelaki itu positif dadah dan mempunyai pelbagai rekod jenayah serta dadah iaitu suspek berusia 51 tahun mempunyai 10 rekod manakala anaknya tiga rekod dan seorang lagi suspek mempunyai empat rekod lampau.

"Polis turut menyita tiga buah kenderaan milik mereka iaitu Toyota Mark X dan Vios serta Honda Jazz dan wang tunai sebanyak RM2,180. Jumlah keseluruhan sitaan RM119,180," katanya.

Menurutnya, kesemua mereka kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan dan kes berkenaan disiasat menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya iaitu mengedar dadah.

Katanya kesemua dadah yang dirampas itu jika terlepas ke pasaran boleh digunakan oleh 33,650 penagih.

Sumber: PDRM Pulau Pinang dan BERNAMA

b

bb

bbbb

bbbbbb

bbb

bbbbbbb

bbbbbbbbb

bbbbbbbbbb

bbbbbbbbbbb

bbbbbbbbbbbb

bbbbbbbbbbbbb

bbbbbbbbbbbbbbb

bbbbbbbbbbbbbbbbbb

bbbbbbbbbbbbbbbbbbbb
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS