Menu

KERATAN AKHBAR PILIHAN: IBU BAPA CUAI, ABAI ANAK TERBABIT KEGIATAN BASIKAL LAJAK BAKAL DIAMBIL TINDAKAN

Kuala Lumpur, 5 November 2019 - Ibu bapa kepada kanak-kanak atau remaja yang didapati terbabit dengan aktiviti basikal lajak yang menyebabkan bahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 33 Akta Kanak – Kanak 2001.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, DCP Dato' Azisman Alias berkata, menurut undang-undang berkenaan, mana-mana individu memelihara kanak-kanak termasuk ibu bapa yang menganiaya, mengabaikan, membuang atau, mendedahkannya dengan cara mungkin menyebabkan dia mengalami kecederaan fizikal atau emosi boleh dikenakan tindakan.

"Justeru, sudah menjadi tanggungjawab ibu bapa bagi memantau aktiviti anak-anak supaya ti dak terjebak dengan kegiatan basikal lajak,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, di sini, semalam.

“Undang - Undang Kaedah 35(2) dan Kaedah 35(3) LN165/59 memperuntukkan setiap basikal ditunggang perlu dipasang lampu di hadapan dan belakang bagi menunjukkan cahaya putih serta merah boleh dilihat dalam jarak muhasabah.

"Manakala Kaedah 42(1) LN165/59 pula menyatakan tiada seorang pun boleh menunggang basikal di atas jalan melainkan dilengkapi dengan brek efektif yang beroperasi secara berasingan pada kedua - dua tayar dan loceng," katanya.

Beliau berkata, tangkapan dan sitaan pula dilakukan mengikut Seksyen 54 Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membolehkan penunggang basikal lajak ditangkap tanpa waran seperti diperuntukkan Seksyen 112(1) (a) akta sama.

Sementara itu polis sudah mengenal pasti 26 lokasi tumpuan aktiviti basikal lajak di seluruh negara dan operasi akan digandakan di kawasan terbabit bagi mengekang kegiatan tersebut terutama menjelang musim cuti sekolah.

Antara lokasi dikenal pasti ialah Jambatan Raja Nala Klang Utara di Selangor, Jalan Bukit Sekilau di Pahang, Jalan Bukit Putus Lama di Negeri Sembilan, Dataran Bukit Liki di Johor, Machang Bubuk dan Sungai Pinang di Pulau Pinang, Jalan Pasir Puteh di Kelantan dan Taman Tasik Taiping di Perak.

Bacaan lanjut di : Akhbar Berita Harian (m/s 8)



PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS