Pengenalan

NKRA Membanteras Rasuah adalah salah satu daripada (6) Bidang Keberhasilan Utama Negara di dalam Program Transformasi Kerajaan (GTP). Tujuan NKRA Membanteras Rasuah dibangunkan adalah untuk membendung gelombang rasuah yang menurut tanggapan, melanda masyarakat Malaysia. Berdasarkan skor dan kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (Corruption Perception Index - CPI) Transparency International (TI) dalam tempoh satu dekad yang lalu, telah menunjukkan persepsi negatif dalam komuniti perniagaan antarabangsa dan pakar-pakar negara terhadap Negara Malaysia iaitu mencatatkan peningkatan dalam CPI secara beransur-ansur di negarakita ini. Kedudukan skor Malaysia dalam carta CPI yang menunjukkan kemerosotan daripada 5.0 pada tahun 2001 kepada 4.4 pada tahun 2010 mencerminkan perihal wujudnya peningkatan gejala rasuah di negara ini. Jadual 2 menunjukkan kedudukan dan skor CPI Malaysia berbanding negara-negara lain hasil tinjauan yang dijalankan oleh Transparency International -CPI bagi tempoh 2001 hingga 2010.

Walaupun kita seringkali membuat penafian terhadap skor persepsi rasuah yang diperolehi hasil tinjauan yang telah dijalankan oleh TI, Kerajaan tetap menyahut seruan orang ramai dengan menjadikan usaha membanteras rasuah sebagai satu daripada prioriti utamanya dengan menjadikan NKRA Membanteras Rasuah di bawah GTP. 

 

Tahun

Kedudukan Malaysia

Skor - CPI

Jumlah NegaraDikaji

2001

36

5.0

91

2002

33

4.9

102

2003

37

5.2

133

2004

39

5.0

146

2005

39

5.1

159

2006

44

5.0

163

2007

43

5.1

179

2008

47

5.1

180

2009

56

4.5

180

2010

56

4.4

178

Jadual 2: Kedudukan dan skor CPI Malaysia Oleh Transparency International bagi tempoh 2001 hingga 2010.

 

Sehubungan itu, pada tahun 2010, tiga sub-bidang telah dikenal pasti dalam NKRA Membanteras Rasuah dalam menangani isu-isu rasuah selain menambahbaik persepsi terhadap rasuah di Malaysia (mengikut skor CPI dan tinjauan Global Corruption Barometer oleh Transparency International) seperti yang ditunjukkan dalam Jadual 3 iaitu:-

 


Jadual 3 : Aspirasi Kerajaan dan Tiga Sub-Bidang NKRA Membanteras Rasuah. 

i. Penguatkuasaan Undang-Undang Dan Agensi Pengawalseliaan (Regulatory and Enforcement Agencies)

Persepsi negatif terhadap agensi penguatkuasa dan pengawalseliaan boleh ditangani dengan memastikan bahawa rasuah tidak mempengaruhi para pegawai dan agensi-agensi ini serta menghalang mereka daripada menjalankan tugas dan kewajipan mereka dengan berkesan. Lima (5) agensi penguatkuasa utama yang bertanggungjawab dalam Sub-Bidang Keberhasilan NKRA Membanteras Rasuah adalah Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Kastam Diraja Malaysia (KDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM). Ia berikutan agensi tersebut merupakan agensi kerajaan yang mencatat bilangan kes rasuah tertinggi di bawah siasatan SPRM. 

PDRM, sebagai agensi penguatkuasa yang utama di negara ini begitu komited dalam melaksanakan inisiatif-inisiatif NKRA Membanteras Rasuah seterusnya berazam untuk memperbaiki dan seterusnya menambahbaik imej PDRM di mata rakyat. PDRM menghadapi cabaran yang amat tinggi dalam membendung persepsi negatif rakyat terhadap PDRM dalam isu rasuah. Ini adalah berdasarkan kepada hasil tinjauan yang telah dijalankan oleh Transparency International dalam Global Corruption Barometer (GCB) sepertimana dalam Jadual 4mengenai persepsi rakyat terhadap tahap penglibatan agensi-agensi kerajaan dalam isu rasuah, kedudukan Polis (PDRM) berada di tangga yang teratas iaitu memperolehi skor yang paling tinggi jika dibandingkan dengan agensi yang lain sejak tahun 2004 sehingga tahun 2010 (tahun 2008 dan 2009 tiada tinjauan dijalankan terhadap Polis). Skor GCB bagi (1) adalah paling tidak ada aktiviti rasuah manakala (5) adalah paling banyak aktiviti rasuah. 


Jadual 4 : Kedudukan Polis Mengikut Persepsi Rakyat Terhadap Penglibatan Agensi-Agensi Yang Dianggap Tinggi Terlibat Di Dalam Aktiviti Rasuah Dari Tahun 2004 Sehingga 2010. 

ii. Perolehan Kerajaan (Projects and Procurement)

Objektif dalam Sub-Bidang ini adalah untuk mengurangkan salah tadbir dalam proses perolehan Kerajaan, Indeks Akauntabiliti Perolehan (Procurement Accountability Index) telah diwujudkan dan kemajuannya diukur menerusi bilangan Kementerian yang memperolehi skor 90%. Selain itu, ianya juga adalah untuk mewujudkan ketelusan, keadilan dan kesaksamaan serta akauntabiliti lebih baik dalam penganugerahan dan pelaksanaan kontrak. 


iii. Rasuah Besar 

Pelaksanaan dalam Sub-Bidang "Rasuah Besar (Grand Corruption)" yang dimaksudkan dalam Jadual 3 adalah untuk meraih semula keyakinan orang ramai dengan meningkatkan keberkesanan, pendakwaan dan hukuman terhadap rasuah, tumpuan diberikan kepada peratusan perbicaraan rasuah yang berjaya diselesaikan dalam tempoh setahun dan bilangan orang yang disenaraikan dalam pangkalan data SPRM yang mengandungi pesalah yang disabitkan. Selain itu, ianya juga adalah untuk menepis persepsi negatif rakyat bahawa tindakan undang-undang dalam jenayah rasuah hanya diambil terhadap 'ikan bilis' manakala 'jerung (big fish)' (kalangan individu yang berpengaruh atau berkuasa) terlepas daripada hukuman atau hukuman yang dikenakan pula dilihat tidak memadai bagi mereka yang mempunyai kuasa dan pengaruh.
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS