Berita

#BiarJasaJadiKenangan ARTIKEL PILIHAN: ANGGOTA POLIS CEDERA DILIBAS LELAKI GUNA PARANG

Kubang Pasu, 4 Julai 2022 - Seorang anggota polis cedera di tangan selepas terkena parang yang dilibas seorang lelaki di sebuah rumah di Lorong Masjid Kampung Lubuk Air, Air Hitam dekat sini, malam tadi.

Dalam kejadian pada jam 10.30 malam itu, Lans Koperal Ismarizal Ismail, 37, dari Balai Polis Air Hitam sedang menjalankan tugas Op Cegah bersama anggota lain dan kakitangan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kubang Pasu.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan, berkata terdahulu kakitangan AADK ke rumah lelaki berusia 26 tahun itu bagi menahannya, namun suspek enggan memberi kerjasama dan turut mengugut mereka menggunakan parang.

Berikutan itu katanya, pihak AADK terpaksa membuat laporan di Balai Polis Air Hitam, sebelum anggota polis bertindak ke lokasi bagi menahan suspek mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

"Namun, ketika hendak menangkap suspek, lelaki itu bertindak agresif dan berlaku pergelutan menyebabkan parang yang dilibasnya terkena tangan anggota polis menyebabkannya cedera di jari.

"Bagaimanapun suspek berjaya ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi, hari ini.

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS